Monday, November 2, 2026

Perbezaan ringkas cukai tanah & cukai pintu (cukai taksiran):

 Perbezaan ringkas cukai tanah & cukai pintu (cukai taksiran):


Cukai Tanah


Cukai ini dikenakan ke atas pemilik hartanah, ia perlu dibayar setiap tahun sebelum 31 Mei. Untuk pemilik rumah teres, semi-D atau lot seperti banglo, cukai tanah akan dibayar terus oleh pemilik kediaman kepada Pejabat Tanah.


Untuk rumah yang mempunyai pegangan strata bertingkat seperti apartment atau kondominium, selalunya cukai tanah ini dibayar oleh pemilik kediaman kepada badan pengurusan bersama (JMB). JMB kemudiannya akan membuat bayaran penuh kepada Pejabat Tanah bagi pihak pemilik kediaman.


Cukai tanah boleh dibayar bermula 1 Januari sehingga 31 Mei setiap tahun. 


Pembayaran untuk cukai tanah ini boleh dilakukan menggunakan kiriman wang atau wang pos di atas nama Bendahari Negeri Selangor. Cara lain adalah dengan melakukan pembayaran di mana-mana Pejabat Daerah / Tanah & Pejabat Tanah Galian (PTG) Selangor dan ia boleh dilakukan dengan cara tunai atau melalui kad kredit / kad debit.


Bayaran secara tunai sahaja boleh dilakukan di mana-mana kaunter Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di seluruh negeri Selangor dan juga di kaunter Pejabat Pos di seluruh negeri Selangor & Wilayah Persekutuan.


Cara yang paling mudah pula adalah dengan membuat pembayaran secara online di https://ehasil.selangor.gov.my dan pembayaran boleh dilakukan menggunakan FPX atau menggunakan kad kredit / kad debit.


Adalah menjadi tanggungjawab kepada pemilik kediaman untuk membuat bayaran cukai tanah tanpa menunggu bil makluman cukai tanah. Jika anda tidak dapat membuat semakan dengan mengakses portal online PTG Selangor contohnya,  anda boleh ke kaunter PTG Selangor untuk membuat semakan bil & boleh terus membuat bayaran.


Cukai Pintu (Cukai Taksiran)


Cukai ini dikenakan ke atas pemilik kediaman oleh Majlis Perbandaran and kadar cukainya bergantung kepada jenis kediaman atau hartanah yang dimiliki.


Hasil cukai ini yang diperolehi oleh Majlis Perbandaran akan digunakan untuk membaik pulih dan membina kemudahan-kemudahan awam di tempat tersebut seperti kerja-kerja penurapan jalan raya, baik pulih saluran longkang, lampu-lampu jalan dan sebagainya.


Makluman tentang berapa cukai yang perlu dibayar & bila tarikh akhir bayaran selalunya akan dihantar melalui surat terus kepada pemilik kediaman. Cukai tanah & cukai pintu ini tidaklah mahal mana & menjadi tanggungjawab setiap pemilik kediaman / hartanah untuk melangsaikannya.


Bayaran juga sekarang dah boleh dibuat secara online maka dah jadi mudah untuk kita selesaikan cukai tanah & cukai taksiran ini.


Bil cukai taksiran ini dibayar 2 kali setahun iaitu pada 1 Januari hingga 28 Februari dan 1 Julai hingga 31 Ogos setiap tahun.


Bil cukai pintu @ cukai taksiran juga dihantar oleh Majlis Perbandaran kepada setiap pemilik hartanah. Pastikan anda semak surat-surat yang diterima setiap hari dan jangan lupa juga untuk semak surat-surat anda di unit-unit kediaman atau hartanah komersial anda yang disewakan kepada pihak lain untuk memastikan anda tidak terlepas pandang cukai taksiran yang perlu dibayar setiap tahun.


Sekian Perkongsian saya pada pagi ini.

-TSM Hj Anuar-

No comments: