Saturday, May 2, 2026

Semak Tiga Perkara Ini Sebelum Membeli Rumah .



Pertama sekali kami ingin mengucapkan tahniah kepada anda kerana membuat keputusan untuk membeli aset hartanah, sama ada rumah atau tanah.


InsyaAllah pembelian hartanah ini akan menjadi perlaburan yang terbaik untuk masa depan anda.


Majoriti klien kami (pembeli rumah pertama) tidak tahu apa yang perlu dibuat sebelum membeli hartanah idaman beliau.


Jadi disini kami akan berkongsi 3 langkah awal yang perlu anda buat sebelum meneruskan hasrat untuk membeli hartanah.


Perkara 1 : Semak kelayakan pembiayaan (financing) dengan pihak bank.

Perkara pertama yang paling penting sebelum anda membuat keputusan membeli aset hartanah adalah untuk menyemak kelayakan pembiayaan anda.


Adakah anda layak untuk mendapatkan pembiayaan yang setara dengan harga hartanah tersebut?


Anda boleh buat semakan terus dengan pihak bank atau boleh hubungi peguam hartanah terbaik kami untuk membuat semakan bagi pihak anda.


Jika harga hartanah tersebut dijual di bawah harga pasaran, anda mempunyai peluang untuk ‘mark-up’ jumlah pembiayaan anda kepada harga pasaran bagi menampung kos renovasi rumah dan bayaran guaman.


Perkara 2 : Semak kos awal yang perlu digunakan.

Terdapat 4 Bahagian kos awal yang perlu disediakan oleh pembeli:


Kos Awal a : Deposit

Deposit bergantung atas budi bicara penjual, tetapi biasanya penjual akan meletakkan deposit sebanyak 10% daripada harga jualan. Kos ini adalah untuk menunjukkan anda serius untuk membeli rumah tersebut.


Deposit boleh disediakan melalui akaun simpanan atau akaun 2 KWSP pembeli.


Kos Awal b : Yuran Guaman

Jika anda membeli dengan pembiayaan bank, peguam akan keluarkan bil transaksi pindahmilik dan bil transaksi gadaian.


Jika anda membeli secara tunai, hanya bil pindahmilik akan dikeluarkan.


Untuk mendapatkan sebutharga guaman hartanah yang berpatutan, boleh hubungi peguam hartanah terbaik kami.


Kami akan nyatakan setiap kos dengan terperinci dalam sebut harga kami.


Kos Awal c : Kos duti setem pindahmilik bagi pembelian rumah kedua.

Berita baik bagi pembeli rumah pertama, kos duti setem pindahmilik akan dikecualikan jika pembeli belum pernah membeli rumah.


Tetapi, kos duti akan dikenakan untuk pembelian rumah kedua dan seterusnya. Nilai kos duti setem pindahmilik ini bergantung kepada harga belian rumah tersebut.


Pengiraan kos duti setem pindahmilik boleh disemak di Portal Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.


Kos Awal d : Yuran / Kos Penilaian

Kos penilaian (“Valuation Fee”) akan dikenakan oleh Penilai Hartanah. Pihak bank akan memaklumkan jumlah yuran penilaian berdasarkan jumlah harga jualan rumah.


Perkara 3 : Semak Status geran rumah yang ingin dibeli.


Anda perlu membuat semakan dengan melihat salinan geran untuk mengetahui lebih lanjut mengenai status hartanah idaman anda tersebut.


Antara status yang perlu disemak adalah:


a) Adakah Geran masih mempunyai gadaian atau hutang dengan intitusi kewangan atau tidak.

b) Penjual wajib mempunyai rekod ketuanpunyaan didalam geran.

c) Penjual mestilah bukan seorang yang bankrup.

d) Penjual adalah individu yang masih hidup. (Jika meninggal dunia, urusan pusaka harus diselesaikan terlebih dahulu.)

e) Jika kes geran induk, penjual wajib merupakan seorang pemilik berkepentingan keatas hartanah tersebut.


Sekiranya anda mempunyai kesukaran untuk menyemak status geran, anda boleh hantarkan salinan geran kepada kami untuk kami bantu dengan memberi nasihat 


Semoga bermanfaat


Copypaste: 

Nur Syakirah binti Yusof

Peguam Hartanah Suria Din & Associates

Panduan Kemas Kini Maklumat Pemilik (Tukar Nama Bil)

 


Selepas urusan jual beli selesai, pertukaran nama pada bil-bil berkaitan perlu dilakukan dengan kadar segera. Berikut adalah senarai agensi yang perlu diuruskan:


Cukai Tanah: Biasanya dikemas kini secara automatik oleh Pejabat Tanah selepas pendaftaran Pindah Milik (Borang 14A) berjaya. Walau bagaimanapun, pemilik dinasihatkan menyemak status di portal e-Tanah selepas 3-6 bulan.


Cukai Pintu: Perlu dilakukan di Majlis Perbandaran/Bandaraya (Pihak Berkuasa Tempatan). Sesetengah PBT kini membenarkan permohonan secara dalam talian.


Elektrik (TNB): Boleh dilakukan secara fizikal di Kedai Tenaga atau melalui portal/aplikasi myTNB (Pertukaran Hak Milik / Change of Tenancy).


Air: Perlu dibuat di pejabat agensi air negeri (contoh: Air Selangor, SAMB, SAJ). Kebanyakan negeri kini memerlukan permohonan melalui portal rasmi agensi air tersebut.


Indah Water Konsortium (IWK): Boleh dilakukan secara fizikal atau melalui portal rasmi IWK. Nota: Bagi kawasan di bawah PBT tertentu, bil IWK mungkin disekalikan dengan bil air.


Management Office / JMB / MC (Untuk hartanah strata): Perlu dilakukan secara fizikal di pejabat pengurusan bangunan bagi mengemas kini rekod pemilik dan caj penyelenggaraan.


Dokumen Penting Yang Diperlukan:

Secara amnya, anda perlu menyediakan "set dokumen" berikut untuk setiap permohonan:


1. Salinan Kad Pengenalan (Pembeli/Pemilik Baru).

2. Salinan Perjanjian Jual Beli (SPA) – Muka surat utama, butiran hartanah, dan muka surat tandatangan.

3. Salinan Geran Hartanah (Jika sudah ada).

4. Salinan Notis Jualan/Pindah Milik (Borang 14A) – Sangat penting untuk urusan Cukai Pintu.

5. Salinan Bil Terkini (Cukai Pintu/Air/Elektrik) untuk rujukan nombor akaun lama.


Nota Penting: Pastikan semua tunggakan lama telah diselesaikan oleh penjual melalui pihak peguam sebelum anda memulakan proses pertukaran nama ini.