1. Saya dapati ada pembeli rumah subsale yang kadang-kadang tak sabar untuk mendiami rumah yang dibelinya, walaupun urusan jual beli rumah tersebut masih belum sempurna sepenuhnya.
2. Kadang-kadang baru saja tandatangan perjanjian jual beli (SNP), dah nak mintak kunci rumah daripada penjual.
3. Antara alasan mereka untuk memasuki rumah tersebut lebih awal adalah :
▪tuan rumah sewa nak balik rumah yang mereka sewa;
▪mereka tiada tempat lain untuk tinggal;
▪mereka juga kata mereka dah bayar deposit kepada penjual, jadi sepatutnya mereka dah ada hak terhadap rumah tersebut,
▪mereka kata nak renovate rumah tersebut terlebih dahulu sebelum berpindah ke rumah tersebut, dan lain-lain alasan lagi.
4. Tahukah anda, dari segi amalan guaman hartanah yang sebenar, dalam urusan jual beli rumah subsale, milikan kosong sesebuah rumah hanya akan diserahkan oleh penjual kepada pembeli setelah pindah milik didaftarkan daripada nama penjual kepada nama pembeli, dan pembeli telah menjelaskan keseluruhan baki harga jual beli kepada penjual, sama ada melalui pembiayaan bank atau secara tunai.
5. Amalan guaman ini biasanya dinyatakan secara jelas di dalam SNP yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.
6. Oleh yang demikian, tindakan pembeli meminta kunci untuk mendiami rumah tersebut lebih awal adalah bertentangan dengan peruntukan dalam SNP dan bertentangan dengan amalan guaman hartanah yang sebenar.
7. Bukan itu sahaja, tindakan pembeli untuk mendiami rumah tersebut lebih awal sebelum milikan kosong diserahkan secara rasmi kepada mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam SNP, juga akan mendedahkan pembeli kepada beberapa risiko kerugian.
8. Antaranya termasuklah:
A. Sekiranya berlaku sebarang masalah dalam urusan jual beli rumah tersebut yang menyebabkan SNP terpaksa dibatalkan, maka pembeli hendaklah menyerahkan kembali rumah tersebut kepada penjual.
Bayangkan ketika itu rumah tersebut telah penuh dengan barang-barang pembeli, bukankah ia akan menjadi masalah kepada pembeli untuk mengangkut keluar barang-barang tersebut? Dah lah terpaksa keluar kos untuk angkut keluar barang-barang, malu dengan jiran-jiran pun satu hal jugak.
B. Katakanlah ketika itu pembeli dah buat renovation terhadap rumah tersebut, sekiranya SNP terpaksa dibatalkan dan rumah tersebut terpaksa dikembalikan kepada penjual, segala renovation pada rumah tersebut jadi hak tuan rumah sepenuhnya. Tak fasal-fasal tuan rumah yang untung akibat ketidaksabaran anda. Dan perlu diingat, anda juga tak boleh tuntut sebarang ganti rugi terhadap penjual atas segala kos renovation yang telah dikeluarkan kerana ianya atas risiko anda sendiri.
C. Katakanlah berlaku kematian kepada penjual sebelum urusan jual beli rumah tersebut selesai, rumah tersebut akan dianggap sebagai harta pusaka simati dan waris-waris si mati berhak menuntut rumah tersebut sebagai harta pusaka.
Bayangkan ketika itu anda telah mendiami rumah tersebut lebih awal, dan waris kepada penjual pulak ingin menuntut rumah tersebut daripada anda, sudah pasti ianya boleh menyebabkan perbalahan dan pergaduhan antara kedua-dua belah pihak.
D. Selain daripada itu, kadang-kadang ada juga rumah yang dibeli itu, tanpa pengetahuan pembeli, dalam proses lelongan oleh pihak bank. Sekiranya anda telah mendiami rumah tersebut dan dapat tahu yang sebenarnya rumah tersebut telah dilelong, sudah pasti anda terpaksa menyerahkan rumah tersebut kepada pembeli yang berjaya dalam lelongan tersebut.
Pernah berlaku kes di mana rumah dah "diserahkan" kepada pembeli lebih awal, tiba-tiba rumah kena lelong dan dah ada pembida yang berjaya. Memang bergaduh lah jawabnya antara 3 pihak tersebut; penjual, pembeli dan pembida yang berjaya. Bukankah ini akan menimbulkan masalah kepada semua pihak terutamanya pihak pembeli?
9. Jadi elakkan lah minta kunci lebih awal daripada penjual sebelum urusan jual beli rumah tersebut sempurna.
10. Sebaiknya anda perlu merancang terlebih dahulu sebelum membeli sesebuah rumah. Pastikan sekurang-kurangya dalam tempoh 3 hingga 6 bulan urusan jual beli rumah tersebut, anda mempunyai tempat tinggal yang sepatutnya, bukannya sign sahaja SNP terus mengharapkan untuk memasuki rumah tersebut dengan serta merta. Ingat ni drama swasta ke? Sign je SNP terus dapat kunci rumah.
11. Jadi bawak-bawak lah bersabar demi kebaikan anda juga. Kata orang, takkan lari gunung di kejar. Jika rumah tersebut telah ditakdirkan rezeki milik anda, pasti anda akan dapat juga mendiaminya. Yang penting semua pihak selamat kerana mengikut undang-undang yang sepatutnya.
Wallahuaklam.
Terima kasih,
Penulisan asal:
Almarhum Salkukhairi Abd Sukor.
(Al-fatihah)
No comments:
Post a Comment