Monday, January 26, 2009

kakmazni.jpg

Jalan2 Semasa Di Bulan Puasa: Kisah Ketabahan Seorang Wanita
Jalan-Jalan Semasa Di Bulan Puasa: Kisah Ketabahan Seorang Wanita
Hari ini tanggal 22 Ramadhan 1427H, bersama dengan
rakan-rakan dari NGO Wargakilang.com dan seorang
sahabat dari mailing list realiti_hidup@yahoogroups.com, kami sekali lagi diberi
peluang untuk menjelah kampung-kampung di pedalaman
Kedah dan Perak dalam agenda kami menyelami nasib
insan-insan yang kurang bernasib baik membuat
persediaan menjelang Aidilfitri.

Ada 5 buah rumah yang kami singgah; rumah Cik Suzana
Ibu Tinggal di Kulim, Cik Siah Ibu Tunggal anak 6 di
Sik Kedah, Cik Aminah Ibu Tunggal anak 2 di Baling,
dan seorang lagi Ibu Tinggal anak 6 di Gerik, Perak
dan seterusnya rumah Puan Mazni di Pekan Pulai Baling
Kedah.

Dalam banyak-banyak rumah yang kami singgah itu, di
rumah kak Mazni, destinasi terakhir kami itu lah yang
kami spend masa agak lama sikit; dan saya merasakan
dalam banyak-banyak kisah keluarga Ibu Tinggal dan Ibu
Tunggal ini, kisah Kak Mazni lah yang paling memberi
bekas di dada. Moga kisah kak Mazni yang bakal kami
paparkan ini akan mambu memberi iktibar buat kita
bersama di bulan Ramadhan yang mulia ini, kisah
ketabahan seorang Wanita berhadapan dengan realiti
hidup di dunia yang hanya sementara.

Tatkala kami singgah di rumahnya, Kak Mazni Bt
Abdullah, seorang Ibu anak ENAM; bukan ibu tunggal dan
juga bukan ibu tinggal di Pekan Pulai, Baling Kedah;
waktu itu sedang bergelut dan berjuang dalam dunianya
yang tersendiri.

Kami bukan tak kenal Kak Mazni; tahun lepas kami
pernah singgah di rumahnya, kami ada ambil gambar
beliau dan anak-anak serta suami yang lumpuh/cacat
pemikiran akibat stroke dan ayahnya yang sudah tua
yang perlu dijaga; tapi saya tak mampu nak garapkan
kisahnya kerana jalan ceritanya agak komplikated; jadi
saya pendamkan saja kisah beliau itu; cuma yang
menjadi kehairanan sesama kami, boleh dikatakan setiap
orang daripada kami, selepas kembali daripada lawatan
itu, selepas itu masing-masing akan pergi sendiri ke
sana membawa anak isteri melawat beliau; masing-masing
tak begitu pasti kenapa dalam ramai-ramai insan dan
keluarga malang yang kami temui itu, keluarga Kak
Mazni yang sering kami perkatakan.

Lihatlah gambar yang disertakan ini; dalam serba
kepayahan, tanpa pekerjaan tetap, mengharapkan sedikit
jualan nasi lemak di bulan biasa dan laksa di bulan
puasa, yang kadang-kadang laku kadang-kadang tidak,
Kak Mazni terpaksa memikul beban menjaga suami yang
lumpuh dan retarded angkara serangan stroke, yang tak
henti-henti menangis dan menjerit-jerit memanggil
namanya, terpaksa pula menanggung beban menjaga
ayahnya yang sudah tua yang baru-baru ini hampir
lumpuh akibat jatuh terjelepuk dibilik mandi; dan di
celah-celah kepayahan menjaga suami lumpuh dan ayah
yang daif itu, Kak Mazni terpaksa pula berhadapan
dengan karenah 6 orang anak-anak yang nampak agak
rebellious dengan suasana rumah yang tidak terurus dan
kurang selesa, yang agak kacau bilau tanpa perabut
yang cukup untuk meletakkan kain baju atau pun bilik
tidur yg khusus; semuanya berselerak di sana sini.
Budak-budak ini (Aiman Form 5, Nur Atipah Form 4, Nor
Atikah Form 2, Nor Atirah Darjah 5, Nor Azlin Darjah 1
dan Mohd Hafizul Tadika) terpaksa tidur bersesak-sesak
di ruang tamu yang tak seperti ruang tamu itu (lihat
gambar).

Tak cukup dengan itu, dek kerana benar-benar tidak
berkemampuan; Kak Mazni dalam kesibukan menguruskan
suami yg lumpuh dan terencat akal serta ayah yang tua
dan daif itu, bukan kata Bilik Tidur dan Perabut Rumah
tak ada, tapi Papan Pintu Utama masuk ke rumah juga
tak ada; yang ada cuma sehelai kain langsir buruk
menjadi "dinding" memisahkan ruang tamu rumahnya,
tempat anak-anak DARA nya itu tidur dengan Jalan Raya
utama di luar rumahnya itu. Kata Kak Mazni:
"Nak buat macam mana, dah tak ada duit nak buat pintu,
tawakal aja lah bagi budak-budak itu tidur kat situ!!"
Soal makan minum; Kak Mazni memang tak ada pilihan,
terpaksa hidup bergantung kpd simpati orang. Adalah
beliau usahakan jualan laksa atau nasi lemak sekali
sekala kat jalan besar di hadapan rumahnya itu, tapi
macam mana nak tumpu perhatian; baru aja nak bungkus
nasi lemak atau kukuskan laksa, suaminya
menjerit-jerit minta dijaga. Kemudian ayahnya pula
perlu bantuan nak ke bilik air dan sebagainya. Jadi,
selalunya urusan buat laksa dan nasi lemak ini
kebanyakannya terbengkalai begitu saja.
Kadang-kadang, Kak Mazni juga naik give up dan jadi
fed-up; namun tak seperti kebanyakan kita, beliau
punya jiwa dan hati yang cukup tabah. Bila anak
sulungnya itu Si Aiman mengadu mengenai suasana rumah
yang tak tenteram, berselerak sana sini dengan ayah
yang kerja menjerit tak henti-henti dengan bilik tidur
dan ruang tamu yang tak serupa rumah orang, Kak Mazni
cakap:

"Nak buat macam mana Man, inilah Ujian Yang Sudah
Ditetapkan Ke Atas Kita; Suka Tak Suka Ka Kita Kena
Harung lah Jugak!!"

(Si Aiman dalam iklan radio mungkin boleh kata "Aiman
tak kisah"; tapi dalam dunia realiti, si Aiman anak
Kak Mazni benar-benar Kisah!!)

Malangnya Kak Mazni juga adalah insan biasa, setakat
mana sangat beliau mampu tabah menghadapi suasana.
Beliau juga sedar masalah pelajaran anak-anaknya yang
cukup terganggu dengan keadaan itu; masalahnya nak
hantar anak-anaknya ke rumah anak-anak yatim;
anak-anaknya masih punya mak dan ayah, tak termasuk ke
dalam kategori Anak-Anak Yatim untuk ke sana. Nasib
baik dalam kisah perjalanan kami yang sebelum ini,
kami pernah singgah di rumah Perlindungan untuk
anak-anak seperti anak-anak Kak Mazni; insyaallah tak
lama lagi salah seorang anaknya yang bakal menduduki
UPSR tahun depan akan kami usahakan untuk tinggal di
rumah Perlindungan Abu Nur di Kroh Perak.

Bila saya tengok kak Mazni sedang memandi, kemudian
memapah dan seterusnya memakai bedakkan Ayah nya itu,
saya terus teringatkan Ibu saya yang sudah tua di
kampung, saya cuma pulang menjenguk beliau sekali kot
dalam sebulan, itu pun sebab nak bagi duit
bulan-bulan; tapi Kak Mazni bukan kata sebulan tapi
hampir setiap jam sekali terpaksa menjenguk dan
menjaga ayahnya di sisi; kata Kak Mazni:

"Nak buat macam mana; Kita ini anak, kenalah jaga
orang tua kita. Dulu masa kita kecik-kecik depa jaga
kita; depa bersusah payah menjaga dan membela bagi
makan kita, la ni bila depa dah tua, giliran kitalah
pulak jaga depa!!"

Alangkah beruntungnya mana-mana Ayah yang punya anak
setulus Kak Mazni; di celah-celah kepayahan mencuci
najis suami yang 24 jam terlantar di katil itu, dalam
kesusahan menguruskan anak-anak serta mencari rezeki
membuat nasi lemak atau laksa di kala berkesempatan,
beliau masih mampu menjaga pakai si ayah tersayang.
Moga-moga Allah SWT merahmati Kak Mazni.
Sebenarnya, untuk saya dan dua tiga orang rakan-rakan
dalam NGO Wargakilang; kisah Kak Mazni ini dia punya
satu AURA tersendiri dalam hati-hati kami, kami nak
cerita kat sini pun tak reti, tapi kalau pi sendiri,
barulah tuan-tuan dan puan mampu mengerti.

Saya sendiri, pernah suatu ketika dalam perjalanan
hidup saya di tahun yang lepas, tatkala saya sedang
berhadapan dengan satu situasi yang agak kronik dalam
sepanjang sejarah hidup saya, yang memang saya confirm
tidak ada jalan penyelesaiannya; lantas saya lakukan
solat hajat dengan ikhlas memohon petunjuk Illahi
minta ditunjukkan jalan.

Mungkin dek kerana persoalan itu hampir membawa kepada
persoalan hidup mati, soal maruah dan intergriti diri,
soal diri dan anak-anak isteri, soal keluarga dan
rakan-rakan sekeliling, maka di kala sujud yang akhir
itu, saya bermunajat mohon dan merayu sungguh
sesungguhnya bantuan yang Maha Kuasa minta dilepaskan
saya dari segala belenggu yang penuh trauma itu. Saya
masih ingat dalam esak tangis saya tu, dalam sujud
yang akhir itu, saya ada bertawasul kepada Allah SWT,
saya kata:

"Ya Allah Ya Tuhanku, jika lah ada sebarang pahala
daripada kegiatan amal yang pernah aku lakukan ini,
maka aku pohon padamu Ya Allah, sekiranya tiada
halangan, bolehlah kiranya ditukarkan pahala aku itu
dengan membebaskan aku dari belennggu-belenggu ini ya
Allah!!"

Lantas tanpa diundang, wajah-wajah insan malang yang
pernah saya temui sepanjang saya bergiat dengan NGO
wargakilang itu, tanpa diundang satu persatu menjelma
dan ditayangkan life di hadapan mata; dan entah kenapa
dalam ramai-ramai itu, yang datang dan terus melekat
di skrin utama, seolah-olah menjadi Tawasul yang
paling aula adalah wajah Kak Mazni sedang tersedu
sedan tatkala kami hulurkan duit raya tak sampai pun
beberapa ratus ringgit dalam lawatan kami yang pertama
dulu. Saya masih ingat Kak Mazni, dalam keadaan
tersedu-sedan, beliau berkata:

"Terima Kasihlah adik....terima kasih banyak-banyak la
dik...kakak bersyukur banyak-banyak kat Tuhan!!"
Sambil terus menangis memegang duit note RM50 yang tak
berapa keping itu Kak Mazni cakap lagi sambil
menunduk-nunduk kepalanya:

"Terima Kasih la....terima kasih....orang tak tau
masalah kakak; orang ingat kakak senang, ada duit,
tapi orang tak tau kakak ini....(dia menangis
habis-habisan).."

Tak habis-habis beliau ucapkan kata t.kasih t.kasih
itu; kami pun hampir meleleh air mata, tak pernah
dalam sejarah perjalanan kami itu, kami ada bertemu
dengan insan yang begitu bersyukur dengan pemberian
kami yang tak seberapa itu. Bila kami selami kisah
hidup beliau seterusnya, patutlah beliau begitu
berterima kasih dan bersyukur sungguh ke hadrat Illahi
dengan sumbangan kami itu. Kata Kak Mazni:
"Atas bantuan adik-adik ini, hanya Allah sahajalah
yang mampu membalasnya..!!"

Kak Mazni benar-benar ikhlas dan bersyukur teramat
sangat ke hadrat Illahi dengan pemberian kami itu, dan
mungkin kerana itu jugalah, dalam banyak-banyak wajah
yang saya tawasul itu, Wajah Kak Mazni sedang menangis
itulah yang datang melayang tanpa diundang menjadi
tawasul saya di skrin utama.

Alhamdulillah, tak sampai dua hari, Allah SWT yang
Maha Kuasa memakbulkan doa saya itu. Tahun ini kami ke
sana lagi; malang sunggu nasib Kak Mazni masih belum
berubah, malahan bertambah parah sejak ayahnya
terjelepuk sakit di bilik air tempoh hari. Anak-anak
pula makin resah dengan suasana rumah yang kurang
selesa dan ayah yang sakit dan menangis tak
henti-henti. Namun, Kak Mazni masih tabah menghadapi
suasana.

Dalam perjalanan pulang, bila saya cakap kat
kawan-kawan dalam kereta kata, dari sudut tasauf,
mungkin ini adalah satu Ujian yang tersendiri buat Kak
Mazni. Tuhan uji beliau dengan suami yang lumpuh dan
terencat akal, ayah yang tua dan daif, rumah yang
berselerak dan kacau bilau, anak-anak yang makin
membesar tanpa perhatian penuh ibu dan ayah; dan akhir
sekali punca rezeki untuk makan minum anak-anak yang
entah dari mana; insyallah lah kot kalau beliau mampu
berhadapan dengan Ujian getir seperti ini, adalah
balasan untuk beliau di sana nanti.

Bila saya cakap macam tu, seorang sahabat saya, sdra
Wahab yang baru berjinak-jinak dengan dunia Tasauf
belajar part-time di Pondok Lanai; Wahab cakap:
"Munir, dari sudut tasauf, Ujian itu bukan sahaja
untuk Kak Mazni, tapi Ujian itu untuk kita juga, Tuhan
nak uji sama ada kita nak tolong Kak Mazni atau pun
tidak!"

Saya tak tau nak kata apa, mungkin ada benarnya
kata-kata sdra Wahab itu; maka itu saya lontarkan
pendapat beliau itu untuk difikirkan bersama oleh
tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan. Jika
sekiranya benar Ujian Kak Mazni itu adalah juga Ujian
untuk kita semua, maka kalau ada masa sudi-sudilah
datang menjenguk beliau di alamat:

Mazni Bt Abdullah,
139 Pekan Pulai,
Baling Kedah.

Moga hasil lawatan kalian itu nanti akan mampu memberi
moral support untuk beliau terus tabah menghadapi
Ujian yang tak serupa kita ini.

Sesungguhnya, kisah kak Mazni agak special sikit, nak
kata beliau Ibu Tunggal bukan Ibu Tunggal, nak kata
Ibu Tinggal bukan Ibu Tinggal. Cik Siah, Cik Suzana
dan Cik Aminah di permulaan perjalanan kami itu tadi
walaupun susah, tapi sekurang-kurangnya rumah mereka
ada juga Bilik Tidur dan Ruang Tamu yang sempurna,
tapi rumah Kak Mazni....jangankan bilik tidur, Papan
Pintu Utama pun tak ada!!

Moga kisah ketabahan Kak Mazni menghadapi Ujian dan
Realiti Hidup ini akan dapat menjadi Iktibar buat kita
bersama.

Monier_matdin@yahoo.com
Setiausaha NGO Wargakilang.com
15.10.06 [22 Ramadhan 1427H]

No comments: