Saturday, January 23, 2021

Tips pelaburan hartanah

 

Pelaburan Hartanah, Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Ditulis oleh: Naroswati Naib

Ramai billionaire terkenal dunia hari ini di belakang mereka adalah hartanah. Ini bukan mitos tetapi fakta. Contoh paling popular dan semua orang tahu ialah Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat. Beliau adalah pemilik The Trump Organization sejak 1971 yang tonggak utama bisnesnya ialah bidang hartanah.

Beralih kepada skala yang lebih kecil iaitu di negara kita sendiri, Malaysia. Sejak kebelakangan ini, ramai jutawan hartanah muncul. Cerita tentang kejayaan jutawan hartanah  ini sering didendangkan ke seantero negara. Hasilnya, ramai di kalangan kita rasa teruja dan bercita-cita ingin jadi seperti mereka. Sebab utamanya ialah ingin jadi kaya. Akibat terlalu teruja, mereka terlupa untuk ambil tahu realiti pelaburan hartanah.

Atas rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap keadaan yang berlaku, saya telah mengambil keputusan untuk berkongsi ilmu dan info berkaitan dunia pelaburan hartanah di Malaysia terutamanya dan di luar negara umumnya. Semoga perkongsian ilmu ini akan dapat membuka minda ramai orang tentang apa itu pelaburan hartanah sebenarnya dan bagaimana hartanah boleh beri pulangan yang lumayan kepada pelabur.

Apakah Itu Pelaburan?

Sebenarnya, sebelum seseorang itu menceburkan diri dalam bidang pelaburan hartanah, mereka harus tahu apa yang dimaksudkan dengan pelaburan itu sendiri. Dalam bahasa mudah, pelaburan ialah salah satu cara untuk kita jana pendapatan menggunakan sejumlah wang yang kita ada. Manakala dalam bahasa ekonomi, pelaburan ialah apabila anda membeli sesuatu benda yang tidak akan digunakan pada hari ini, semata-mata untuk mendapatkan keuntungan pada masa akan datang. Dalam istilah kewangan pula, pelaburan ialah pembelian satu persatu aset kewangan dengan harapan aset tersebut akan menjana pendapatan daripada keuntungan pada masa hadapan iaitu apabila aset tersebut dijual pada harga yang lebih tinggi daripada harga semasa dibeli.

Instrumen Pelaburan Di Malaysia

Di Malaysia sendiri ada banyak instrumen pelaburan yang boleh memberikan keuntungan. Contohnya, melabur dalam pasaran saham, unit amanah, Amanah Saham Bumiputera, Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dan pelaburan emas. Pun begitu, kesemua instrumen pelaburan yang disebutkan di atas mempunyai tahap risiko yang berbeza, bergantung pada jenis pelaburan. Kebiasaannya pelaburan yang berisiko tinggi akan memberi pulangan atau keuntungan yang tinggi berbanding pelaburan rendah risiko.

Pelaburan Hartanah

Umumnya, pelaburan hartanah ialah pelaburan yang dibuat dengan membeli satu-satu jenis hartanah khas bagi mendapatkan keuntungan hasil daripada pembelian tersebut, sama ada untuk aliran tunai (cash flow) atau kenaikan harga hartanah (capital appreciation).

Biasanya sebelum melabur dalam satu-satu hartanah, para pelabur akan membuat kajian terperinci terhadap hartanah tersebut bagi memastikan hartanah yang dibeli menguntungkan.

Pada pandangan orang ramai, melabur hartanah senang dan boleh beri keuntungan yang besar. Hakikatnya tidak semudah yang disangka. Bukan semua pelabur hartanah berjaya mendapat keuntungan seperti yang diharapkan. Hal ini kerana setiap pelaburan itu ada risikonya.

Pelabur hartanah yang bijak akan buat perancangan teliti terlebih dahulu sebelum melabur. Tindakan ini wajar dan wajib dilakukan bagi mengelakkan kerugian yang besar.

 

5 Perkara Penting Sebelum Melabur

1. Kemampuan

Periksa kemampuan kewangan anda. Ini adalah faktor yang paling asas dan paling penting sebelum anda jadi pelabur. Adakah anda mampu untuk membeli hartanah? Setelah anda mampu dari segi kewangan, periksa pula kemampuan anda dari segi dokumen. Kemampuan kewangan adalah untuk modal permulaan, manakala kemampuan dokumen pula untuk membolehkan anda mendapat pinjaman bank.

Selepas layak membeli, adakah anda ada holding power atau kemampuan untuk bayar balik pinjaman hartanah tersebut jika sesuatu yang tidak diingini berlaku seperti kena buang kerja atau hartanah tersebut tidak dapat disewakan. Dicadangkan agar anda mempunyai simpanan sekurang-kurangnya untuk jangkamasa enam bulan bayaran balik pinjaman. Selain itu, pelabur hartanah juga mesti ada tabung kecemasan yang boleh digunakan sekiranya berlaku sebarang masalah ataupun kerosakan pada hartanah tersebut yang memerlukan tindakan segera.

2. Kenapa Pelaburan Hartanah

Tanya diri sendiri kenapa anda pilih untuk melabur dalam hartanah.

Apa matlamat anda? Adakah untuk mendapatkan pulangan dalam bentuk tunai atau pulangan dalam bentuk kenaikan harga ketika jual balik hartanah tersebut. Dalam masa yang sama, fikir strategi yang akan anda gunapakai untuk memastikan matlamat pelaburan anda tercapai. Anda juga perlu rancang exit plan atau jalan keluar jika hartanah yang anda beli tidak memberi keuntungan seperti yang anda harapkan.

3. Kajian Terperinci

Buat kajian terperinci tentang situasi pasaran hartanah dalam negara umumnya dan kawasan yang ingin anda labur khasnya. Ini penting agar anda tidak melabur di tempat dan pada masa yang salah. Bahananya anda nanti yang akan tanggung. Juga jangan lupa kaji jenis hartanah yang ingin anda labur. Kaji adakah hartanah yang anda pilih itu memang dicari oleh penduduk setempat atau tidak?

4. Membuat Kiraan

Kenal pasti berapa banyak kos yang perlu anda keluarkan dan berapa pula keuntungan yang boleh diperoleh. Bagi pelabur Return On Investment (ROI) atau pulangan atas modal sangat penting. Berbaloikah modal yang dikeluarkan itu berbanding dengan keuntungan yang didapati.

5. Rangkaian

Bina rangkaian (networking) dengan individu yang memang ada dalam industri hartanah seperti agen hartanah, pegawai di pejabat tanah, peguam, pegawai bank, jurunilai hartanah, pelabur hartanah, penasihat kewangan, kontraktor dan pegawai percukaian. Mereka-mereka yang disebutkan di atas adalah individu yang terlibat secara langsung dalam industri hartanah. Bergaul dengan mereka membolehkan anda tahu keadaan pasaran hartanah semasa. Cara ini dapat mengelakkan anda daripada tersilap langkah atau sekurang-kurangnya dapat meminimumkan risiko kerugian.

No comments: