Saturday, April 26, 2025

lot lidi

JANGAN BELI LOT LIDI, WALAUPUN MURAH – MB KEDAH

ALOR SETAR – Isu lot lidi dilihat membebankan pihak pembeli pada masa akan datang, meskipun harga pembelian ketika ini disifatkan murah.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, permohonan memecah satu lot besar menjadi lot-lot kecil perlu melalui proses ubah jenis kegunaan tanah (UJKT) secara serentak dengan proses pecah sempadan, daripada kategori pertanian kepada bangunan sebelum dipindah milik kepada pembeli.

“Untuk kes lot lidi sedia ada, kerajaan mengambil maklum keseriusan situasi ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman, hari ini.

“Pemilik tanah boleh buat serahan keseluruhan tanah dan dipohon semula atas kategori bangunan oleh pembeli lot-lot kecil berkenaan. Namun, pembeli tertakluk menjelaskan premium tanah kategori bangunan sebelum hakmilik boleh didaftarkan,” jelasnya.

Tambahnya, isu lot lidi merupakan isu pecah lot yang dilakukan tanpa merujuk kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa yang mengakibatkan pembeli tidak dapat didaftarkan dalam hak milik, namun kini ia mendapat permintaan yang menggalakkan dalam kalangan mereka yang ingin memiliki tanah sendiri.

Jelasnya lagi, pindah milik tanah bagi kategori pertanian yang kurang daripada satu ekar adalah tidak dibenarkan tertakluk kepada Seksyen 205 (3).

“Suka untuk saya sarankan pihak PBT dan PlanMalaysia mengkaji dan facilitate untuk membenarkan lot lidi jika tidak bersalahan dengan undang-undang berkuatkuasa khususnya untuk kes-kes lot lidi sedia ada,” katanya.

No comments: